Baru-baru ini, tular satu video berdurasi 21 saat menerusi akaun Facebook ‘Malaysia Independent Animal Rescue’ (MIAR) yang memperlihatkan adegan seorang posmen melastik mata seekor anjing peliharaan menggunakan getah berhadapan sebuah rumah.
Difahamkan, anjing yang tidak bersalah berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan pada mata kirinya akibat perbuatan posmen itu.
Menurut laporan yang dibuat oleh KiniTV, pihak Pos Malaysia mengeluarkan kenyataan meluahkan rasa kesal dengan perbuatan posmen itu dan sudah pun menggantungnya dari tugas sementara siasatan dalaman dilakukan.
“Kami telah mengenalpasti posmen yang berada dalam video itu dan dia telah digantung kerja sementara menungu hasil siasatan.
“Pos Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan kesalahan daripada pekerja kami dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas termasuklah menamatkan perkhidmatan mereka,” tulis Pos Malaysia dalam satu kenyataan menurut KiniTV.
Terdahulu, warrganet yang terkesan dengan kejadian itu menggesa agar pihak Pos Malaysia mengambil tindakan sewajarnya terhadap posmen terbabit. Malah, laporan polis juga telah dibuat oleh MIAR dan kes tersebut kini masih dalam siasatan pihak berkuatkuasa.