Pos Malaysia siasat video posmen didakwa melastik anjing

Pos Malaysia siasat video posmen didakwa melastik anjing

Pos Malaysia sedang menyiasat aduan seorang posmen didakwa mencederakan mata seekor anjing dengan melastiknya dari luar pintu pagar sebuah rumah.

“Pos Malaysia sedang menyiasat kejadian itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap posmen itu jika didapati bersalah,” kata jurucakap Pos Malaysia kepada FMT.

Dalam satu rakaman CCTV selama 21 saat yang dimuat naik ke Facebook “Malaysia Independent Animal Rescue”, seorang lelaki berpakaian seragam Pos Malaysia yang menaiki motosikal melihat seekor anjing dalam perkarangan rumah pemiliknya.

Lelaki itu kemudiannya menggunakan alat dilihat seperti lastik untuk melastik anjing itu, yang bergerak ke tempat lain. Catatan Facebook itu menyatakan mata kiri anjing itu cedera. Kejadian itu didakwa berlaku di Kluang, Johor pada Isnin.

Sebuah kumpulan hak haiwan menyifatkan kejadian itu “sangat mengejutkan dan membimbangkan”, serta menggesa Pos Malaysia memohon maaf kepada keluarga terbabit dan menghukum pelakunya.

Rajesh Nagarajan daripada kumpulan Peguam untuk Hak Haiwan berkata, pemilik anjing itu memaklumkan beliau akan membuat laporan polis.

Katanya, Pos Malaysia juga perlu membuat laporan polis bagi memastikan pelakunya didakwa. – FMT