Porsche sahkan bakal buka kilang di Kulim pada 2022

Porsche sahkan bakal buka kilang di Kulim pada 2022

 

Pada awal bulan Februari lalu, satu Malaysia digemparkan dengan berita jenama kereta mewah dari Jerman bakal membuka kilang pemasangan di Kulim, Kedah. Berita tersebut ‘hangat’ menjadi bualan orang ramai ketika waktu itu.

Terbaharu, pihak Porsche telah mengumumkan melalui laman web rasmi bahawa mereka bakal membuka operasi pemasangan CKD di Malaysia yang merupakan pertama di luar Jerman pada tahun hadapan.

Menurut syarikat tersebut, langkah tersebut dibuat bertujuan untuk memperkuat kehadirannya di pasaran baru di Asia Tenggara yang mana mereka telah menyaksikan pertumbuhan yang sangat menggalakkan.

Pemasangan tempatan akan dilakukan bersama dengan rakan strategik PorscheSime Darby, yang merupakan pengedar rasmi kenderaan Porsche di negara ini di bawah Sime Darby Auto Performance sejak sepuluh tahun yang lalu.

vocket-porsche-buka-kilang-di-kulim-1

SUMBER GAMBAR: PORSCHE NEWSROOM

Dalam kenyataan rasmi itu lagi, pihak Porsche menyatakan Malaysia sebagai negara pengasas blok ASEAN mampu menawarkan peluang perniagaan yang signifikan dan landskap automotif yang mapan.

Difahamkan kenderaan-kenderaan yang bakal dipasang di Kulim, Kedah nanti khusus untuk memenuhi keperluan tempatan dan akan tersedia untuk pasaran Malaysia sahaja.

DETLEV VON PLATEN | SUMBER GAMBAR: PORSCHE NEWSROOM

“Malaysia dan seluruh ASEAN adalah wilayah yang berpotensi besar dan kami menantikan model pemasangan tempatan pertama yang menjangkau pelanggan Malaysia kami tahun hadapan.

“Langkah sekarang adalah sebahagian dari inisiatif lama untuk mengikuti permintaan pelanggan dan pasaran yang sedang berkembang pesat,” terang Detlev von Platen, Ahli Lembaga Eksekutif Penjualan dan Pemasaran Porsche.

Nampaknya landskap industri automotif semakin berkembang pesat dengan berita ini ditambah pula dengan pembangunan sebuah litar lumba bertaraf antarabangsa di Bukit Malut.

Sumber: Vocket