Polis terima, siasat dua laporan antivaksin

Polis terima, siasat dua laporan antivaksin

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima dua laporan membabitkan kumpulan antivaksin yang masing-masing dilaporkan di Perak dan Putrajaya kerana didakwa membuat kenyataan hingga menimbulkan kegusaran awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kertas siasatan di Perak sedang dilengkapkan mengikut arahan Timbalan Pendakwa Raya.

“Siasatan kes di Putrajaya pula masih menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 dan 505(b) Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik berkata, golongan antivaksin tidak akan terlepas daripada tindakan pihak berkuasa kerana terdapat pelbagai peruntukan undang-undang yang boleh digunakan terhadap mereka.

Bagaimanapun, menurutnya tindakan itu bukan disebabkan mereka antivaksin, sebaliknya kerana perbuatan menyebarkan fitnah dan berita palsu.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memohon pihak berkuasa menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap kumpulan antivaksin.

Kementerian Kesihatan (KKM) sudah bertindak dengan membuat laporan polis terhadap beberapa kumpulan antivaksin.