Polis temui ‘bukti’ baharu, muncul rakaman kematian Tangmo Nida

Polis temui ‘bukti’ baharu, muncul rakaman kematian Tangmo Nida

 

Pihak polis dilapor menemui bukti terbaru berkaitan kematian aktres Thailand, Tangmo Nida baru-baru ini, lapor Bangkok Post.

Pegawai polis, Leftenen Jeneral Jirapat Phumichit berkata, bukti baharu tersebut ditemui pegawai penyiasat berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan di tepi Sungai Chao Phraya.

Jelas polis, rakaman CCTV berkenaan menunjukkan terdapat kelibat seseorang yang didakwa sedang berdiri dan duduk di belakang bot laju (yang terlibat) sekitar pukul 10:34 malam hari kejadian.

Difahamkan, penampakan kelibat individu tersebut dikesan sebelum pelakon itu terjatuh ke dalam sungai.

“Bukti ini sangat berguna dalam membantu siasatan untuk mendapatkan lebih banyak penjelasan mengenai kes ini,” katanya, memetik Bangkok Post.

Bagaimanapun, pihak polis tidak menyebut bahawa individu yang dilihat dalam rakaman video berkenaan adalah pelakon tersebut.

Difahamkan, pihak polis juga akan meminta bantuan daripada pakar-pakar dari rumah produksi (production house) untuk tampil membantu menganalisis rakaman tersebut dengan lebih terperinci.

Tidak kurang juga, mereka juga dilapor akan membantu memeriksa koordinat sistem kedudukan global (GPS) bot laju tersebut.

Dalam masa sama, satu panel khas akan ditubuhkan bagi menjalankan bedah siasat kedua mayat Tangmo Nida seperti yang diminta ibunya.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Institut Pusat Sains Forensik Kementerian Kehakiman, Pol Col Songsak Raksaksakul.

Pihaknya juga turut akan menjemput doktor dari institusi lain untuk bersama-sama menjalankan pembedahan itu.

“Mayatnya akan disimpan di Hospital Universiti Thammasat dan pemeriksaan semula dijangka akan selesai dalam tempoh tidak kurang dari 30 hari.

“Mayat mendiang sepatutnya dibakar pada hari sabtu yang lalu, namun ibunya telah mengarahkan pegawai penyiasat untuk memindahkan mayat ke institusi forensik untuk melakukan semula bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Khas (DSI), Trairit Temahiwong berkata, pihaknya akan menyiasat kes tersebut jika keluarga mendiang meminta jabatan itu untuk berbuat demikian.

Selain itu, bekas Pengarah Institut Sains Forensik, Khunying Dr Pornthip pula berkata, keluarga itu mungkin mempunyai peluang untuk mengakses keputusan bedah siasat.

“Kebanyakan orang menyangka bahawa hanya polis yang mempunyai akses untuk laporan tersebut,” katanya, memetik Bangkok Post.

Difahamkan, mengikut undang-undang, doktor forensik mempunyai kewajipan untuk mendedahkan kebenaran.

“Tetapi disebabkan bedah siasat di Thailand disepadukan ke dalam siasatan polis, maka proses tersebut dipercayai berkemungkinan tidak telus.

“Thailand sepatutnya mengikut Protokol Minnesota PBB, satu garis panduan untuk doktor bahawa mereka boleh berdikari,” maklum laporan itu.