Polis tak tutup kes helikopter mendarat di Padang Ipoh ambil ‘nasi ganja’

Polis tak tutup kes helikopter mendarat di Padang Ipoh ambil ‘nasi ganja’

 

Polis tidak pernah menutup siasatan kes membabitkan isu helikopter mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil 36 bungkus ‘nasi ganja’ pada Julai tahun lalu, selain menegaskan siasatan kes berkenaan masih aktif.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tindakan sewajarnya sama ada kompaun atau tuduhan di mahkamah tetap akan diambil terhadap pihak terbabit sebaik menerima kelulusan daripada Pejabat Peguam Negara.

Bagaimanapun, katanya, kertas siasatan itu dikembalikan semula kerana Pejabat Peguam Negara mahu pihak polis melengkapkan lagi beberapa perkara.

“Kes helikopter berkenaan masih tidak ditutup lagi, ia masih hidup. Kita sudah selesaikan siasatan dan kita sudah rujuk siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.

“Jadi di pihak polis, Insya Allah kita akan pastikan semua siasatan dilaksanakan secepat mungkin dan kita akan rujuk kepada agensi berkenaan untuk dapatkan arahan,” katanya ketika ditemui pemberita ketika Perjumpaan Ketua Polis Perak bersama Persatuan-persatuan Rumah Ibadat Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang mengingatkan pihak berkuasa supaya segera menyelesaikan ‘kes mudah’ atau jika tidak terpaksa berhadapan dengan hakisan kredibiliti.

Mohd Sidek ketika berucap dalam Majlis Apresiasi EAIC ke-11 pada 1 April lalu memberi contoh kes helikopter mendarat di Ipoh untuk mengambil nasi ganja pada 23 Julai 2021 yang disifatkan tidak ada penghujung, sekali gus menghakis kredibiliti agensi penguatkuasaan dan seterusnya kredibiliti kerajaan.

Mior Faridalathrash berkata, menerusi kenyataan media sebelum ini pihaknya sudah memaklumkan polis sudah menyelesaikan kertas siasatan kes itu dan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

Bagaimanapun, katanya, satu arahan kemudiannya dikeluarkan untuk polis mengambil tindakan susulan berhubung beberapa isu yang berbangkit berkaitan perundangan.

“Siasatan perkara itu juga sudah kita lengkapkan dan kembali dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara. Jadi di pihak polis, kita sudah pastikan semua siasatan dilaksanakan secepat mungkin.

“Insya Allah dalam masa terdekat ini kita akan ambil tindakan, sama ada kompaun kepada pihak terbabit atau menuduh di mahkamah.

“Saya akan umumkan mengenainya selepas mendapat keputusan terkini,” katanya.