Polis tahan lelaki conteng ‘Kerajaan Gagal’

Polis tahan lelaki conteng ‘Kerajaan Gagal’

SEORANG lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes khianat menconteng dinding beberapa bangunan di sekitar bandar Taiping, Perak baru-baru ini dengan perkataan ‘kerajaan gagal’.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 3.45 petang semalam di kediamannya di Taman Sungai Mas, Taiping bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Anggota pemantau Op Covid-19 telah pergi ke rumah lelaki terbabit dan hasil soal siasat, lelaki itu telah menunjukkan peralatan yang digunakan untuk membuat tulisan pada dinding-dinding bangunan terbabit,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Osman berkata, polis turut merampas peralatan berkenaan membabitkan satu blok tulisan kerajaan gagal, satu tin penyembur cat berwarna hitam dan sebuah kereta jenis Toyota Avanza.

“Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap lelaki itu pagi ini di Mahkamah Taiping,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial sejak semalam beberapa keping gambar menunjukkan kawasan awam diconteng dengan tulisan ‘kerajaan gagal’ antaranya di taman permainan dan dinding yang menempatkan lukisan grafiti. – MP