Polis siasat skim pelaburan Al Kahtifah Trust, Madinah Mining

Polis siasat skim pelaburan Al Kahtifah Trust, Madinah Mining

 

Polis menjalankan siasatan berhubung dua skim pelaburan iaitu Al Kahtifah Trust serta Madinah Mining yang didakwa Pengasas dan Presiden AUF MBZ Consortium, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman menggunakan namanya bagi menjalankan penipuan pelaburan tidak wujud.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, setakat ini, 38 kertas siasatan telah dibuka berkait skim pelaburan Al Kahtifah Trust melibatkan jumlah kerugian RM468,870.

“Bagi skim pelaburan Madinah Mining pula, sebanyak 28 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian berjumlah RM343,282.

“Siasatan berhubung kedua-dua skim pelaburan berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Mohd Kamarudin berkata, berdasarkan siasatan, kedua-dua skim pelaburan itu dikesan aktif sejak penghujung 2021 dan menggunakan platform media sosial untuk mencari pelabur.

“Pakej yang ditawarkan serendah RM500 dengan kadar keuntungan 100 peratus dalam tempoh satu hingga dua hari sahaja.

“Bagi meyakinkan pelabur, penganjur pelaburan ini mendakwa skim yang ditawarkan adalah patuh syariah dan mempunyai kelulusan dari Bank Negara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, siasatan berhubung skim pelaburan berkenaan masih dijalankan dan pihak polis memberi jaminan siasatan terperinci akan dijalankan.

Mohd Kamarudin turut menasihati orang ramai untuk memberikan perhatian dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan,” katanya.

Pada Selasa, media melaporkan Mahadi yang juga suami kepada kepada selebriti, Datin Seri Heliza Helmi itu mendakwa namanya digunakan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud.

Beliau mengesan pihak dan individu terbabit menggunakan akaun palsu di media sosial seperti Facebook dan Instagram selain aplikasi sembang maya seperti Telegram untuk memperdaya mangsa.

Akibatnya, beliau dan syarikatnya menerima banyak kiriman mesej daripada mangsa yang mendakwa menanggung kerugian akibat ditipu sindiket berkenaan.

Antara akaun media sosial yang menggunakan namanya adalah Al Kahtifah Trust; Aurora Mining Team; Al-Dagang Malaysia; Bijak Labur; Madinah Mining; Pelaburan Al-Marzuqi; MoneyStone dan Xafee Trade.

Berikutan itu, pihaknya sudah membuat lima laporan polis sejak awal tahun ini dengan terbaharu dibuat pada 25 Februari lalu di Balai Polis Kelana Jaya.