Polis siasat penyelewengan pembelian PPE

Polis siasat penyelewengan pembelian PPE

Polis percaya terdapat unsur penyelewengan apabila sumbangan wang tunai oleh Ahli Parlimen Beruas bagi pembelian 700 pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) pada April tahun lalu masih tidak diterima oleh Hospital Seri Manjung (HSM) sehingga sekarang.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, polis sudah mengenal pasti suspek terlibat dan sedang mengumpul bukti sebelum tindakan lanjut diambil.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

“Kita mengesahkan ada menerima laporan polis dibuat Pegawai Khas Ahli Parlimen Beruas pada Khamis lalu. Pihak HSM juga ada membuat laporan sama,” katanya dalam sidang alhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini hari ini.

Pada Khamis lalu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Beruas, Siti Sofiah Rahman Oh, membuat laporan di Balai Polis Ayer Tawar menyatakan majikannya, Datuk Ngeh Koo Ham, menerima surat daripada Ahli Lembaga Pelawat HSM bertarikh 13 April tahun lalu memohon sumbangan 700 helai pakaian PPE bernilai RM15 setiap satu.

Berikutan itu, Koo Ham memasukkan wang berjumlah RM10,500 ke akaun bank Ahli Lembaga Pelawat HSM pada 18 April tahun lalu.

Bagaimanapun, pada 12 Januari lalu, pejabat Ahli Parlimen Beruas menerima surat daripada HSM menyatakan walaupun wang itu diterima, pihak hospital tersebut tidak menerima pakaian PPE berkenaan. – UO