Polis siasat kumpulan langgar SOP daki Bukit Bangkong

Polis siasat kumpulan langgar SOP daki Bukit Bangkong

 

Polis menyiasat tindakan sekumpulan individu yang didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika beriadah di Bukit Bangkong, Tanah Hitam, Chemor di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, perbuatan itu dikesan selepas video yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Instagram tular di media sosial.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius perkara itu kerana kelihatan individu-individu terlibat beriadah secara berkumpulan dan gagal mematuhi SOP Fasa 2 PPN yang sedang berkuat kuasa di negeri ini.

“Satu laporan polis dibuat dan kes disiasat di bawah Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi SOP PPN yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak risiko penularan wabak Covid-19.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati gagal mematuhi SOP dengan mengeluarkan kompaun kepada mereka mengikut akta terbabit.

“Segala maklumat mengenai ketidakpatuhan SOP PPN di Ipoh boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2542222 atau emel di [email protected] Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

COMMENTS