Polis siasat dakwaan pihak berkuasa lindung aktiviti jenayah di Ipoh

Polis siasat dakwaan pihak berkuasa lindung aktiviti jenayah di Ipoh

 

Polis akan menjalankan siasatan secara terperinci mengenai dakwaan pengguna Facebook, bahawa terdapat segelintir pegawainya melindungi aktiviti jenayah yang berlaku di beberapa kawasan di daerah ini seperti tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh Yahaya Hassan, berkata pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan dan siasatan terhadap maklumat tersebut dijalankan bagi mengesahkan kesahihan dakwaan.

“Satu laporan polis diterima berkaitan dakwaan itu hari ini, selepas ia dimuat naik menerusi akaun Facebook di atas nama ‘Antidadahrasuah Tamanku’.

“Berdasarkan hantaran yang dimuat naik, pemilik akaun itu mendedahkan beberapa kawasan yang dikatakan menjadi tumpuan aktiviti-aktiviti jenayah narkotik dan penjualan mercun.

“Antara lokasi tersebut ialah di kawasan Pengkalan, Pasir Puteh, Kampung Sri Kinta, Station 18 dan Kampung Chempaka Sari,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Yahaya berkata, siasatan awal pihak polis mendapati akaun Facebook tersebut disyaki adalah palsu dan hanya digunakan untuk memuat naik status tersebut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sehubungan itu orang awam dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap tohmahan tersebut sehingga menjejaskan siasatan pihak polis,” katanya.