Polis ‘salahkan’ pemain cosplay ketika lapor kes gangguan, disiasat

Polis ‘salahkan’ pemain cosplay ketika lapor kes gangguan, disiasat

 

Satu siasatan tatatertib akan dilakukan oleh Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya susulan ketidakpuasan hati seorang wanita yang mendakwa mendapat layanan buruk oleh anggota polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya memandang serius dakwaan itu yang tular di Twitter dan tindakan akan dikenakan sekiranya terbukti terbabit dalam insiden itu.

Siasatan mendapati pengadu wanita itu hadir ke Balai Polis Kelana Jaya kelmarin untuk membuat satu laporan polis tetapi dia merasa tidak selesa dengan layanan dan tutur kata oleh anggota polis yang bertugas ketika itu.

“Pihak polis sentiasa akan memberikan layanan serta perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tular di Twitter seorang wanita mendakwa dia tidak dilayan dengan sepatutnya ketika hadir membuat laporan polis.

Mangsa yang memakai pakaian ‘cosplay’ itu mendakwa anggota polis memalukannya kerana berpakaian sedemikian.

Kata mangsa, dia hadir membuat laporan polis dengan berpakaian sedemikian kerana mahu cepat sebaliknya menerima pandangan sedemikian.

Cosplay – gabungan perkataan costume dan play – membabitkan individu yang berpakaian seperti watak dalam animasi dan permainan video.

Wanita itu berkata dia memakai jaket ketika membuat laporan.

Semalam, seorang pemain cosplay wanita yang mengendalikan reruai di Anime Fest di Paradigm Mall Petaling Jaya membuat laporan di balai polis Kelana Jaya terhadap seorang individu kerana mendakwa diganggu.

Dalam satu ciapan hari ini, wanita itu berkata ketika di balai, seorang anggota polis berkata kepadanya: “You pakai macam ini (untuk) jual gambar, ini adalah akibatnya. You pun juga salah.”