Polis rampas 89 peket minuman berperisa buah dicampur serbuk dadah

Polis rampas 89 peket minuman berperisa buah dicampur serbuk dadah

 

Polis menahan seorang lelaki dan merampas 89 peket minuman berperisa buah yang dicampur dengan serbuk disyaki dadah jenis ekstasi dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Medan di sini Jumaat lalu.

Lelaki berusia 20 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada pukul 11.45 malam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki itu ditahan di hadapan lift kondominium berkenaan bersama satu bungkus beg plastik berisi empat peket minuman perisa buah yang disyaki dicampur dadah.

Katanya, pemeriksaan turut dijalankan ke atas sebuah kereta jenis Proton Saga yang diparkir di ruang letak kenderaan di mana 20 peket minuman berisi dadah yang disimpan dalam kotak di bahagian bonet kereta telah dirampas.

“Kita juga menyerbu rumah suspek di kondominium sama dan pemeriksaan di dalam rumah tersebut menemukan 65 peket plastik yang disyaki berisi serbuk campuran dadah jenis ekstasi.

“Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 5,670.1 gram dengan nilai rampasan berjumlah RM187,000,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Ipoh di sini hari ini.

Menurut Yahaya, dalam serbuan tersebut pihaknya turut merampas peket-peket plastik kosong dan alat membungkus dadah berkenaan.

Beliau berkata, lelaki yang mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit kes dadah itu dipercayai mendapat bekalan dadah dari luar Perak dan melakukan aktiviti memproses dan membungkus bahan tersebut di rumah sewanya.

“Risikan ke atas suspek telah dijalankan sejak sebulan lalu dan dipercayai dadah tersebut untuk pasaran Ipoh dan dijual di pusat-pusat hiburan.

“Kita juga percaya terdapat individu lain yang terlibat dalam kegiatan tersebut dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan rakan suspek yang masih bebas,” katanya.

Tambahnya, suspek direman selama enam hari bermula Sabtu lalu hingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Utusan