Polis Perak tahan lebih 1,000 individu terbabit perjudian

Polis Perak tahan lebih 1,000 individu terbabit perjudian

 

Sebanyak 1,557 serbuan membabitkan 1,632 tangkapan berjaya dilakukan Polis Perak menerusi operasi membanteras aktiviti perjudian di seluruh negeri sejak awal tahun ini sehingga semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil serbuan dijalankan terhadap kegiatan judi ekor haram dan judi dalam talian itu turut merampas 344 peranti elektronik serta wang tunai berjumlah RM269,735.

“Tahun lalu, kita melakukan 921 serbuan serta melakukan 1,086 tangkapan bagi judi dalam talian dan judi ekor haram.

“Polis juga turut merampas 41 peranti elektronik dan wang tunai berjumlah RM244,857 bagi tempoh sama tahun 2020.

“Statistik ini membuktikan operasi membanteras kegiatan perjudian haram dipergiatkan pada tahun ini berbanding tahun lalu,” katanya selepas program Hari Bertemu Pelanggan bersama Ketua Polis Perak di Taiping Mall, di sini, hari ini

Menurutnya, sebanyak 759 kes sudah dituduh di mahkamah.

“Tindakan pemotongan bekalan elektrik diambil terhadap 71 premis di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Satu kes diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” katanya.

Katanya, sindiket perjudian dikesan sering menukar operasi mereka termasuk nombor telefon namun, ia bukan penghalang kepada polis untuk membanteras kegiatan itu.

“Modus operandi operator sindiket perjudian sentiasa berubah-ubah, jika dahulu mereka sewa premis tetapi kini semua dijalankan dalam talian termasuk pertaruhan dan pembayaran.

“Itu antara cabaran yang dihadapi pakar judi kita tetapi kita tidak pernah berhenti malah lebih agresif untuk terus membanteras kegiatan ini di seluruh negeri,” katanya.

Katanya, kesemua ketua polis daerah di 15 kawasan digesa memperhebatkan operasi membanteras kegiatan perjudian.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata, Polis Perak merekodkan kutipan kompaun hampir RM17 juta sempena tawaran diskaun saman trafik yang bermula 1 Disember lalu.