Polis Perak sahkan terima laporan rogol babitkan penceramah bebas popular

Polis Perak sahkan terima laporan rogol babitkan penceramah bebas popular

 

Polis Perak mengesahkan menerima laporan kejadian rogol membabitkan penceramah bebas bergelar ustaz yang telah ditahan di Selangor, semalam.

Difahamkan, laporan polis itu dibuat di Ipoh kelmarin oleh mangsa iaitu remaja perempuan berusia 14 tahun.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan lanjut akan dijalankan ke atas suspek berikutan aduan yang diterima daripada mangsa.

“Ada satu laporan polis diterima di sini (Perak) dan kita sedang menjalankan siasatan lanjut.

“Lelaki itu sudah ditahan di Selangor dan besar kemungkinan suspek akan diserahkan kepada kontinjen Perak untuk kita meneruskan siasatan bagi laporan polis yang diterima di sini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja Ketua Polis Perak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Perak, Datin Nor Qhadhijah Abdul Wahab dan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30 tahun ditahan semalam, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor bagi membantu siasatan kes rogol remaja berusia 14 tahun.

Suspek ditangkap susulan laporan polis dibuat mangsa pada Sabtu lalu.

Setakat ini empat kertas siasatan dibuka iaitu dua di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak membabitkan suspek dan mangsa yang sama.