Polis pantau lokasi tumpuan pesta durian

Polis mengingatkan orang ramai khususnya penggemar durian agar patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak berkumpul untuk menikmati raja buah itu.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, pemantauan akan dilakukan di lebih 10 kawasan yang telah dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan atau ‘port’ penggemar buah itu terutama di Kampung Gajah, Parit dan Bota.
“Semua sedia maklum yang daerah ini memang terkenal dalam kalangan penggemar durian. Setiap kali musim durian, pasti ada lokasi-lokasi yang dijadikan sebagai tapak pesta durian.
“Kita telah pun mengenal pasti tempat-tempat tersebut dan akan melakukan pemerhatian dan pemantauan daripada semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui selepas melaksanakan operasi sempena Op Patuh di sekitar daerah Perak Tengah di sini hari ini.
Menurut Barudin, pemantauan akan dipertingkatkan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti khususnya di dusun durian terutama pada hujung minggu.
“Kita sudah kenal pasti beberapa tempat yang sebelum ini dijadikan sebagai tapak untuk mengadakan makan durian beramai-ramai khususnya di tepi sungai dan dusun durian.
“Pemantauan ini akan sentiasa diadakan kerana sekarang pun sedang musim durian. Jadi, saya nasihatkan masyarakat agar patuhi SOP dan peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai operasi yang dijalankan hari ini, Barudin berkata, Op Patuh yang bermula pukul 11 pagi itu melibatkan pemeriksaan di premis-premis yang terlibat dalam sektor perkilangan, pengedaran dan peruncitan serta restoran dan kedai makan.
Katanya, pemeriksaan sama turut disasarkan ke atas premis yang tidak mendapat kebenaran beroperasi kerana dikhuatiri mereka tetap menjalankan perusahaan secara sembunyi.
“Ada juga kilang yang sebelum ini sudah diperiksa dan tidak melibatkan apa-apa kesalahan langsung dan hari ini, kita jalankan pemeriksaan sama untuk pastikan mereka benar-benar patuh pada arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya.
Sumber: Utusan