Polis kesan saksi langgar lari warga emas

Polis kesan saksi langgar lari warga emas

 

Polis sedang mengesan saksi kejadian kemalangan maut membabitkan pejalan kaki di Kilometer 111, Jalan Ipoh-Butterworth, dekat Batu 8, Bagan Serai, 6 Januari lalu.

Dalam kejadian pada pukul 6.20 pagi itu, wanita warga emas, P. Arikamari, 68, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, nahas tersebut berlaku ketika sebuah kenderaan tidak pasti dalam perjalanan dari arah Bagan Serai menghala ke arah Parit Buntar.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, Arikamari dipercayai melintas dari kiri jalan masuk ke laluan kenderaan tersebut menyebabkan pemandunya gagal mengelak lalu melanggar mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kenderaan yang melanggar mangsa melarikan diri sebaik sahaja kemalangan itu berlaku.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Mazuki, pihaknya memohon saksi bebas yang melihat dan mempunyai maklumat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan polis.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Fazri Abdul Aziz di talian 013-7111923 untuk tindakan lanjut,” katanya.