Polis akan mengesan penduduk yang cuba melarikan diri daripada dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan mengelak daripada membuat ujian calitan (swab test).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz menegaskan ia susulan dakwaan ada individu yang cuba mengelak daripada dikenakan PKPD di salah satu kawasan itu di bandar raya ini.

“Ujian calitan komuniti telah dibuat dan pihak kami akan pergi dari rumah ke rumah mengikut maklumat Pejabat Kesihatan Daerah.

“Jika ada mereka yang dikatakan telah cuba keluar dari semalam, kita akan cuba mengesan mereka seperti mana yang dibuat sebelum ini. Sebab data pendaftar milik rumah dan penyewa kita ada,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan PKPD di Zon B Taman Pinji Mewah bermula hari ini hingga 14 Disember 2020.

Ujar A Asmadi lagi, pihaknya juga akan meningkatkan kawalan dan memantau laluan tikus yang berkemungkinan digunakan untuk meloloskan diri di kawasan PKPD.

Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan terbabit supaya bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berwajib bagi mengelakkan penularan Covid-19.

“Kita akan memperbaiki perkara ini dari hari ke hari dan paling penting kerjasama semua. Kita masih ada tiga lokasi PKPD yang perlu diberi perhatian yang sama,” katanya.

Katanya, sejumlah 180 anggota beruniform ditugaskan secara bergilir-gilir membabitkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia di kedua-dua kawasan berkenaan.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di kawasan Zon B Taman Pinji Mewah dan Zon A Taman Klebang Jaya, Ipoh bermula 1 hingga 14 Disember.