Koperal polis didakwa rompak jongkong emas bernilai lebih RM500,000

Koperal polis didakwa rompak jongkong emas bernilai lebih RM500,000

 

Koperal polis didakwa rompak jongkong emas bernilai lebih RM500,000

Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki warga Bangladesh, bulan lepas.

Koperal Muhammad Arieff Marhalim, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, dia bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Robin Miah dengan merompak jongkong emas anggaran berat 1,499.81 gram bernilai RM580,345.26, wang tunai RM7,000 dan sebuah telefon bimbit jenis Redmi Note 13 yang merupakan harta dalam kawalan mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pudu, Dang Wangi di sini pada 12.25 tengah hari hingga 3.15 petang, 26 November lepas mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya masih berkhidmat dan mempunyai tanggungan keluarga termasuk tiga anak.

Izralizam membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jan tahun depan untuk sebutan kes.