Polis jelaskan notis minta bukti aktiviti harian bukan untuk orang awam

Polis jelaskan notis minta bukti aktiviti harian bukan untuk orang awam

Notis rentas negeri yang viral di media sosial kelmarin di mana pemohon yang mahu merentas negeri perlu menyertakan bukti aktiviti harian, susulan terdapat penyalahgunaan kebenaran rentas negeri oleh golongan instafamous dan selebriti, telah pun diturunkan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, notis yang terpampang di pintu balai berkenaan adalah peringatan yang diberikan kepada anggota polis agar lebih berhati-hati ketika memproses permohonan rentas negeri orang ramai.

Bagaimanapun, salah seorang anggotanya telah salah faham dan menampal notis peringatan itu di pintu balai.

“Saya memberitahu pegawai saya untuk mengingatkan mereka bahawa mereka harus memeriksa dengan teliti setiap permohonan perjalanan rentas negeri kerana kita tidak mahu kejadian seperti yang berlaku baru-baru ini berulang.

“Setiap pemohon yang ingin melakukan perjalanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan harus menunjukkan bukti, baik untuk pekerjaan atau hal-hal lain.

“Kerana saya tidak mahu pada akhirnya polis dipersalahkan kerana seseorang memberikan maklumat palsu dalam permohonan mereka.

“Notis tersebut tidak seharusnya ditampal di situ kerana itu hanya peringatan kepada polis untuk memeriksa permohonan dengan teliti, jangan biarkan orang menipu kita.

“Lihatlah kes baru-baru ini, polis yang dipersalahkan. Polis selalu disalahkan. Kami dikritik jika kami tidak meluluskan permohonan. Tetapi apabila kami mengizinkan, kami juga dipersalahkan,” katanya.

Terdahulu, pasangan selebriti, instafamous dan orang kenamaan dikesan menyalahgunakan kebenaran rentas negeri. Semasa permohonan dibuat, mereka memberi alasan urusan pekerjaaan. Namun berbeza dengan apa yang dimuat naik di akaun media sosial mereka yang jelas bertentangan menyebabkan netizen mula mempersoalkan mengapa polis memberi golongan ini kebenaran rentas negeri begitu mudah.

Sumber: MalaysiaKini, Sinar Harian