Polis dedah punca wanita simbah air panas terhadap lelaki OKU

Polis dedah punca wanita simbah air panas terhadap lelaki OKU

 

Sabtu lalu, tular sebuah rakaman CCTV mengenai seorang wanita yang secara tiba-tiba menyimbah air panas terhadap seorang lelaki berstatus OKU di dalam sebuah lif.

Akibat kejadian itu, mangsa melecur di bahagian depan dan belakang badan dalam kejadian yang berlaku di sebuah apartmen di Bayan Lepas.

Memetik sumber Harian Metro, dendam lama dipercayai menjadi punca wanita terbabit bertindak sedemikian terhadap mangsa.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan awal mendapati perselisihan faham yang disifatkan agak sensitif itu tercetus antara suspek dan mangsa sekitar tiga atau empat tahun lalu.

“Kita masih lagi menjalankan siasatan ke atas wanita terbabit dan siasatan awal mendapati punca adalah disebabkan perselisihan faham yang berlaku dalam tiga ke empat tahun lalu, saya rasa dia (suspek) kenal muka sebab tinggal di flat sama.

“Setakat ini kita sudah merakam percakapan tiga individu termasuk mangsa dan siasatan masih diteruskan, kalau selesai kita akan tuduh awal jika tidak, kita sambung reman,” katanya.

Menurut polis, pihaknya mempertimbang untuk menghantar suspek bagi menjalani pemantauan kesihatan untuk pemerhatian dan pengesahan laporan perubatan dan siasatan setakat ini mendapati wanita itu bukan pesakit mental.

“Setakat ini kita tengok tiada (rekod pesakit mental) Insya-Allah kita akan majukan untuk kita dapatkan rawatan lanjut terhadap suspek jika suspek mempunyai masalah mental di hospital.”

Sementara itu, pihak hospital memaklumkan mangsa mengalami kecederaan melecur meliputi enam peratus daripada permukaan kulitnya dengan tempoh pemulihan dijangka kira-kira dua minggu untuk pulih sepenuhnya.

Difahamkan, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.