Polis dedah ada percanggahan keterangan saksi, ibu bapa Zayn Rayyan

Polis dedah ada percanggahan keterangan saksi, ibu bapa Zayn Rayyan

 

Percanggahan keterangan daripada saksi dan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin antara sebab penahanan kedua mereka dibuat untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sedang menjalankan pelbagai usaha dalam lengkapkan kertas siasatan.

“Ada perkara perlu disemak semula dan ada perkara yang tidak selari serta konsisten daripada keterangan saksi dan sebagainya menjurus kepada tangkapan ibu bapa Zayn Rayyan.

“Kita telah selesai soal siasat fasa pertama untuk reman tujuh hari. Ada perkara yang perlu kita ‘counter check’ dan ada perkara yang masih tidak seiring dengan siasatan, jadi kita sambung reman enam hari untuk lengkapkan kertas siasatan,” katanya.

Jelas Huseein, masih terlalu awal pihaknya untuk memaklumkan apa yang akan berlaku (pertuduhan di mahkamah).

Katanya, dalam tempoh lanjutan reman ini, polis akan usaha untuk lengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke timbalan pendakwa raya.

“Kes masih dalam siasatan. Sebab perlu enam hari lagi reman kerana ada perkara perlu siasatan lanjut, ada yang bercanggah dan perlu kita betulkan sampai kita puas hati.

“Bukan hanya dari mereka (ibu bapa) tapi dari saksi lain,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam tempoh reman pertama, polis juga telah memanggil pengasuh Zayn Rayyan dan dua ahli keluarganya untuk dirakam keterangan.

“Peguam ada ruang untuk berjumpa, polis juga ada ruang untuk tentukan mereka (peguam) boleh jumpa ibu bapa Zayn Rayyan dalam tempoh atau selepas reman itu. Polis ada budi bicara untuk tentukan bila mereka boleh jumpa,” katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan ibu bapa kepada Zayn Rayyan yang direman selama tujuh hari berakhir Jumaat, disambung reman enam hari lagi sehingga Rabu depan.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.