Polis cari saksi kemalangan maut

Polis cari saksi kemalangan maut

 

Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Kilometer 184.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Alor Pongsu di sini pada pagi Ahad, tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, insiden sekitar jam 6.30 pagi itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Syafiq Abu Bakar, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, motosikal jenis Honda EX5 ditunggangi mangsa telah hilang kawalan menyebabkannya terjatuh di atas jalan.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Ketika kejadian, lelaki terbabit dalam perjalanan dari arah Cameron Highland hendak balik ke rumah di Bandar Baharu, Kedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Katanya, buat masa ini punca kemalangan dipercayai disebabkan terjatuh sendiri dan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita mohon saksi bebas yang melihat dan mempunyai maklumat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan polis.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Khairul Hanafi Hanapi di talian 013-6200564 untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Sinar Harian.