Polis cari kumpulan terlibat pecah masuk pejabat pos, tinggal peti besi atas jalan

Polis cari kumpulan terlibat pecah masuk pejabat pos, tinggal peti besi atas jalan

Polis sedang mengenalpasti kumpulan atau pihak yang bertindak memecah masuk Pejabat Pos Kampung Kepayang di Chandan Desa, Simpang Pulai dekat sini sebelum meninggalkan peti besi di atas jalan di hadapan premis tersebut.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian itu disedari pengurus cawangan pejabat pos berkenaan ketika wanita itu tiba di lokasi pada pukul 8 pagi tadi.

Katanya, pengurus tersebut mendapati pintu hadapan pejabat pos iaitu pintu kaca dan roller shutter dalam keadaan terbuka ekoran diumpil.

“Pengadu memaklumkan pintu kaca dan roller shutter itu dalam keadaan separuh terbuka di mana terdapat kanvas berwarna biru menutupi pintu hadapan.

“Pemeriksaan di dalam pejabat pos itu mendapati keadaan berselerak dan peti besi yang berada di dalam premis pula berada di luar pejabat di atas jalan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Yahaya, pengadu juga memberitahu premis berkenaan dalam keadaan baik semasa kali terakhir ditinggalkan semalam.

Sumber: Kosmo