Pokok tumbang timpa kereta, tiang elektrik
Sekumpulan petugas kesihatan cemas apabila hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan sebatang pokok tumbang di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) di sini.
Pokok sebesar satu pemeluk itu turut menimpa dua buah kereta yang diletakkan di pekarangan dewan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Mohd. Azizi Zakaria berkata, kejadian kira-kira pukul 8.30 lagi itu turut menjejaskan tiang eletrik dan pagar dewan berkenaan yang juga dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).
Menurut beliau, bomba yang tiba di lokasi mendapati sebatang pokok yang berada dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist tumbang ke arah Dewan MPKK.
“Kerja-kerja memotong pokok dan pembersihan kawasan terpaksa ditangguh kerana tidak mahu mengganggu proses penyimpanan vaksin Covid-19 yang memerlukan bekalan elektrik.
“Hasil perbincangan dengan doktor di PPV, operasi akan dijalankan selepas proses pemberian vaksin selesai pada pukul 2 petang dengan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan MPKK,” ujarnya.
Kejadian tersebut tidak melibatkan kecederaan dan kereta yang ditimpa pokok itu juga difahamkan rosak dan telah lama diparkir di dalam kawasan dewan.
Sumber: Kosmo