Pokok hujan-hujan berusia 135 tahun tumbang, ditegakkan semula & dirawat

Pokok hujan-hujan berusia 135 tahun tumbang, ditegakkan semula & dirawat

 

Pokok hujan-hujan (samanea saman) berusia 135 tahun di Raintree Walk, Taman Tasik Taiping di sini, yang tumbang berikutan kejadian ribut pada 22 Februari lalu, ditegakkan semula dan dirawat.

Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pokok terbabit diselamatkan dengan cara menegakkan semula pokok dengan sebahagian dahannya dipangkas serta bahagian akar dan tanahnya dirawat.

Menurutnya, pokok berkenaan sudah ditegakkan semula dengan pemantauan profesional oleh arborists bertauliah (CA) pada kelmarin.

Sebelum ini, Yang Dipertua MPT Khairul Amir Mohamed Zubir berkata, laporan yang diperolehi daripada CA mendapati punca utama pokok itu tumbang adalah kerana ketidakseimbangan struktur yang sudah condong dan ditambah dengan berlakunya ribut.

Katanya, kini pokok berkenaan dalam pemantauan pihaknya dan akan diselenggara untuk tempoh 12 bulan sehingga ia pulih termasuk penyediaan sokongan penampan oleh MPT dalam waktu terdekat.

“Bagi mengutamakan keselamatan awam, kawasan sekeliling pokok sudah ditutup dengan pita keselamatan dengan orang ramai dinasihatkan tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan itu bagi mengelakkan kerosakan kekal pada pokok itu.

“MPT akan memastikan pokok itu akan segera diselamatkan sebaik mungkin,” katanya.