PN sedia berpisah dengan Umno – sumber
Kemelut politik Perak menimbulkan pelbagai spekulasi dalam percaturan parti-parti yang bergelut mencari formula bagi membentuk kerajaan di negeri ini.
Dalam satu maklumat yang didedahkan sumber dalaman PPBM, wujud pandangan supaya krisis yang berlaku di Perak menjadi titik mula pemisahan antara PN dan Umno bagi manfaat masa depan khususnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang.
Menurut sumber tersebut, Umno akan menghadapi serangan persepsi yang begitu kuat apabila bekerjasama bersama DAP dan nasib yang dialami Bersatu semasa berada dalam Pakatan Harapan akan dipikul Umno.
Selain itu katanya, persefahaman antara PPBM dan Pas semakin baik dan mereka boleh meneruskan momentum tersebut pada PRU akan datang.
Dalam pada itu, PPBM juga turut berhati-hati dalam langkah tersebut kerana mereka juga berisiko kehilangan Putrajaya dan beberapa negeri lain sekiranya sinergi antara Umno dan PH benar-benar merebak ke seluruh negara.
Namun katanya, serangan kepada Umno selepas ini tidak mudah untuk diuruskan berikutan pendirian mereka yang keras terhadap DAP selama ini telah meresap ke seluruh pelusuk tanah air terutamanya di kampung-kampung.
“Bersatu akan mendapat manfaat sekiranya Umno pecah di bawah” jelasnya ringkas.
Krisis politik Perak menyaksikan kebuntuan dalam menentukan gabungan untuk membentuk kerajaan baharu selepas Menteri Besar Dato Seri Ahmad Faizal Azumu meletakkan jawatan selepas 48 daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri menolak untuk menyokong usul percaya kepadanya pada Jumaat lalu.