PN Perak sokong Saarani

PN Perak sokong Saarani

Perikatan Nasional (PN) Perak akan terus menyokong Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad dan kekal dengan pendirian untuk terus bekerjasama.

Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN negeri sedia memberi komitmen kepada pentadbiran kerajaan dipimpin Saarani.

“Bagi pihak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak dan juga PN Perak, saya ingin menyatakan komitmen semua ADUN-ADUN daripada Pas dan Bersatu iaitu terus mendukung kerajaan negeri sedia ada.

“Kami akan terus membantu Menteri Besar dalam memberi fokus kepada usaha untuk membantu rakyat yang menghadapi kesukaran dalam tempoh pandemik Covid-19 ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan pada Program Vaksinasi Outreach di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Lah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kedudukan pentadbiran kerajaan negeri susulan tindakan UMNO menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak berkata, sehingga kini tiada sebarang perbincangan dilakukan antara PN Perak dan UMNO berhubung kemelut yang berlaku di peringkat pusat.

Bagaimana pun katanya, Bersatu dan Pas akan sentiasa berpegang kepada janji dalam memberi sokongan kepada Saarani menggalas tugas sebagai Menteri Besar.

Sumber: Kosmo