PN mahu memansuhkan pengurangan 18 peratus kadar tol PLUS

PN mahu memansuhkan pengurangan 18 peratus kadar tol PLUS

Perikatan Nasional (PN) dilihat mahu memansuhkan pengurangan 18 peratus kadar tol PLUS Malaysia Berhad (PLUS) walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah meluluskan rancangan penstrukturan tersebut yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat baru-baru ini berkata, proses penstrukturan semula perjanjian konsesi PLUS membabitkan dua pihak berkepentingan dan empat kementerian serta agensi kerajaan di peringkat akhir perbincangan.

Katanya, kajian semula keputusan penstrukturan yang dimuktamadkan ketika pentadbiran PH itu mengambil kira kepentingan pihak berkepentingan , iaitu Khazanah/UEM Group Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), masing-masing dengan 51 peratus serta 49 peratus pegangan akuiti dalam PLUS.

“Memang betul sebelum ini ada kenyataan daripada Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Fadillah Yusof) bahawa kajian semula penstrukturan konsesi ini dibuat kerana penurunan kadar tol sebanyak 18 peratus bagi kenderaan kelas pertama memberi kesan kepada operasi lebuh raya lain.

“Ia kenyataan yang tidak perlu dipertikai, namun saya nak tekankan bahawa kajian semula dibuat sebab kita nak buat benda lebih baik, cuma terlalu awal untuk nyatakan penyelesaian usaha ini.

“Kalau kita berhasrat untuk kaji semula, sekadar jadi lebih teruk, buat apa kaji semula, sebaliknya keputusan ini supaya dapat mewujudkan terma yang lebih baik.

“Keputusan tidak boleh dibuat lagi kerana masih dalam perbincangan peringkat akhir bersama Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Kewangan (MOF) dan Unit Kerjasama Awam Swasta di Unit Perancang Ekonomi (EPU),” katanya.

Mustapa menjawab soalan tambahan Tony Pua Kiam Wee (PH-Damansara) mengenai asas di sebalik keperluan melaksanakan kajian semula keputusan penstrukturan konsesi PLUS yang dimuktamadkan antara pihak berkepentingan dan kerajaan PH, pada awal Januari lalu.

“Kita rasakan penyelesaian dibuat PH boleh diperbaiki lagi, itu sebab kajian semula dilakukan dan ia bukan bertujuan untuk memudaratkan keadaan.

“Tanggapan bahawa keputusan kajian semula penstrukturan hanya mengundang kesan buruk adalah andaian tidak benar,” kata menteri Umno itu lagi.

Malah, dia mempersoal jumlah penjimatan sehingga RM43 bilion hasil pengurangan 18 peratus tol PLUS itu dengan menganggap hanya pandangan Tony Pua.

Bagaimanapun, Tony dari DAP menegaskan angka tersebut merupakan pengiraan daripada Khazanah dan KWSP sendiri bukan pandangan peribadinya.

“Itu pandangan daripada EPF dan Khazanah. Takkanlah EPF dan Khazanah salah?” hujahnya.

Untuk rekod, KWSP dan Khazanah ketika era pentadbiran PH menyambut baik keputusan kerajaan ketika itu berhubung pengurangan 18 peratus tol PLUS.

Bulan lalu, Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penurunan kadar tol PLUS sebanyak 18 peratus itu perlu dipertimbangkan kerana mempunyai kesan ke atas lebuh raya lain termasuk yang sedang dalam pembinaan serta yang akan dibina.

Mengulas pendirian menteri PN itu, Tony menyifatkan kerajaan lebih mengutamakan kepentingan kroni berbanding rakyat.

“Maksudnya, kerajaan Perikatan Nasional bimbang kroni-kroni yang lain bagi lebuh raya bertol yang lain rugi walaupun rakyat sebenarnya yang perlu diutamakan supaya mereka mendapat manfaat,” tegas Tony lagi.

Sumber: Malaysia Dateline