PM umum Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah, RM250 buat pesara

PM umum Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah, RM250 buat pesara

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar pada Jumaat ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju menyalurkan BKK Aidilfitri kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

“Jadi hari ini, bersamaan 21 Ramadan 1445, saya umumkan, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

“Sebanyak RM250 BKK Aidilfitri kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen, insya-Allah saya sudah maklumkan kepada Perbendaharaan supaya BKK Aidilfitri disalurkan mulai Jumaat ini, 5 April 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di PUSPANITAPURI, hari ini.

Pada 15 Mac lalu di Ipoh, Presiden CUEPACS Datuk Adnan Mat mengulangi gesaan supaya kerajaan memberikan bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara.

Adnan berkata, pihaknya berharap Perdana Menteri mengekalkan tradisi bantuan khas perayaan itu sebagaimana dilaksanakan sepanjang 10 tahun lalu.

Insentif itu katanya, bukan sahaja memberi manfaat kepada penjawat awam, malah melegakan kelompok peniaga.

“Kami merayu supaya kerajaan mengumumkan dalam waktu yang terdekat ini, kerana ada keluh kesah peniaga di luar sana apabila penjawat awam kurang ‘purchasing power’.

“Sekurang-kurangnya dengan ada bantuan khas Aidilfitri, bukan sahaja penjawat awam (terima manfaat), tetapi untuk peniaga di bazar Aidilfitri yang memerlukan pembeli yang mampu membeli barangan mereka.

“Jika kami tidak ada kelebihan, maka kami tidak mampu membeli (dan mewujudkan) pusingan ekonomi kepada peniaga,” katanya.