PM dedah Malaysia terima 3 notis daripada Kedutaan AS kerana tegas perjuang isu Pale.stin

PM dedah Malaysia terima 3 notis daripada Kedutaan AS kerana tegas perjuang isu Pale.stin

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Malaysia menerima tiga notis tata tindak daripada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) kerana keengganan negara menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas.

Perdana Menteri berkata, notis rasmi yang dipanggil demarche itu diterima Kementerian Luar masing-masing pada 13 dan 30 Oktober lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan tarikh satu lagi notis rasmi yang dihantar terus kepada duta besar Malaysia di Washington.

“Oleh kerana keengganan kita untuk membantah tindakan Hamas dan tidak menganggap Hamas sebagai pengganas, saya mendapat maklumat, Kementerian Luar menerima demarche iaitu tata tindak daripada Kedutaan AS sebanyak dua kali iaitu pada 13 dan 30 Oktober lalu serta sekali (satu lagi notis) kepada duta besar.

“Ia disebabkan pendirian kita terutama keengganan kita menganggap Hamas itu sebagai badan pengganas.

“Saya sudah menjawab dalam majlis (solidariti Palestin) di stadium baru-baru ini, saya tegaskan bahawa Malaysia kekal dengan pendirian bebas kita dengan pertimbangan kemanusiaan dan menganggap pencerobohan itu (salah) dari segi undang-undang dan kaedah antarabangsa kerana perkara ini sudah berlarutan berdekad sejak 1948,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMTQ) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar sebelum ini mendedahkan beliau menerima banyak ugutan daripada negara luar, susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.

Susulan itu, Perdana Menteri berkata, selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat, selaku ketua kerajaan beliau tidak akan tunduk dan gentar dengan sebarang ugutan.

Selain itu, Perdana Menteri turut mendedahkan ada seorang ahli Parlimen dari Eropah bertindak mengusulkan sekatan terhadap Malaysia kerana kelantangan memperjuangkan isu Palestin.

Namun, beliau menegaskan tidak menghiraukan tindakan berkenaan, sebaliknya akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti biasa tanpa gentar.