PM dedah ahli parlimen Eropah usul sekatan terhadap Malaysia kerana sokong Pale.stin

PM dedah ahli parlimen Eropah usul sekatan terhadap Malaysia kerana sokong Pale.stin

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, mengesahkan seorang ahli Parlimen dari Eropah bertindak mengusulkan sekatan terhadap Malaysia, ekoran kelantangannya memperjuangkan isu Palestin.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak menghiraukan tindakan berkenaan sebaliknya akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti biasa tanpa rasa gentar.

“Ada ahli Parlimen Eropah yang bangkitkan. Ada yang usul langsung (sekatan terhadap Malaysia) dari salah seorang ahli Parlimen Eropah.

“Ia tak jadi masalah (bagi pihak Malaysia). Kita jangan hiraukan soal itu (usul sekatan). Kita ada urusan kerja dan kita teruskan.

“Kita (akan terus) terpaksa menyuarakan pandangan (berhubung penindasan Israel terhadap Palestin) daripada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia (MMU) di sini, hari ini.

Susulan ugutan yang diterima, Perdana Menteri yakin dengan kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menguruskan hal itu.

Oleh yang demikian, Perdana Menteri menegaskan tiada apa yang perlu dibimbangkan.

“IGP (Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain) ada. Mereka akan uruskan. Kita tak akan bimbang. Kita akan teruskan kerja kita,” katanya.

Anwar sebelum ini mendedahkan, beliau sedar selain menjangkakan akan ada tindak balas dari beberapa negara Barat berhubung kelantangannya dalam menyuarakan isu Palestin.

Namun, Anwar menegaskan, beliau tidak sesekali khuatir bahkan akan terus memperjuangkan nasib penduduk Palestin di peringkat antarabangsa.

Tegasnya, beliau tiada pilihan berhubung perkara itu kerana isu Palestin membabitkan soal kemanusiaan kerana penduduknya terus sengsara akibat penindasan dan kezaliman rejim zionis Israel.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menegaskan tidak takut dengan ugutan dan tekanan negara Barat kerana pendiriannya yang lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin.