PKPD: Penduduk Taman Meru 2C akur arahan untuk kebaikan bersama
Penduduk di sekitar Zon B dan Zon C, Taman Meru 2C di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula tengah malam ini kelihatan tenang dan bersedia sepenuhnya demi memastikan penularan COVID-19 dapat dibendung.
Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan penduduk memerhati dengan teliti dari kediaman masing-masing anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasang pagar kawat duri di sekeliling kawasan perumahan mereka pada kira-kira pukul 3 petang tadi.
Seorang warga emas Robakyah Alwi, 63, berkata beliau reda dengan arahan dikeluarkan kerajaan yang menghalang pergerakan keluar dan masuk dalam kalangan penduduk di kawasan itu demi keselamatan dan kesihatan semua pihak.
Ibu kepada lima anak berusia antara 31 hingga 42 tahun itu berkata beliau bersyukur kerana sepanjang tempoh PKPD akan ditemani suami, anak lelaki kedua serta dua cucu perempuan yang tinggal bersamanya.
“Anak-anak yang lain juga selalu mengingatkan saya supaya menjaga diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan terjangkit dengan wabak COVID-19,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Sumber: Bernama