PKPD: Jawatakuasa khas di kawasan Zon B dan C Taman Meru 2C

PKPD: Jawatakuasa khas di kawasan Zon B dan C Taman Meru 2C

Jawatankuasa khas dianggotai penduduk akan digerakkan bagi membantu kelancaran urusan di kawasan Zon B dan C Taman Meru 2C di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) selama 14 hari bermula esok.

Keanggotaan yang disertai ahli jawatankuasa surau dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) itu berperanan membantu pihak berkuasa termasuk menguruskan agihan makanan dan bantuan keperluan lain kepada penduduk.

Pengerusi surau, Mohamad Najib Mat Lazim berkata, kesepakatan itu dicapai kerana PKPD di kawasan itu melibatkan kira-kira 2,300 orang membabitkan lebih 550 rumah.

“Kami sudah mengadakan perbincangan selepas kerajaan membuat keputusan semalam. Antara langkah awal ialah melantik seorang ketua bagi setiap laluan persiaran (jalan taman).

“Ketua ini nanti akan mengumpul maklumat setiap keluarga di kawasan masing-masing dan bertindak menjadi penghubung kepada kita sekiranya ada ahli jagaan mereka berdepan kesukaran sepanjang tempoh PKPD berkuatkuasa,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Beliau mengakui ramai penduduk terkejut dengan pelaksanaan PKPD di kawasan itu.

 

 

Katanya, sejak Kementerian Kesihatan (KKM) mengadakan saringan kesihatan bersasar di situ, lebih 1,100 penduduk hadir secara sukarela menjalani ujian calitan.

“Kita mohon semua penduduk bersabar dan tidak panik. Kita akan membantu memudahkan urusan dengan harapan tempoh PKPD ini dapat dijalani dengan lancar,” katanya.

Semalam, kerajaan memutuskan pelaksanaan PKPD di Zon B dan C, Taman Meru 2C selama 14 hari bermula 20 November sehingga 3 Disember ini.

Ia membabitkan 2,288 penduduk dan 572 rumah dengan prosedur operasi standard (SOP) PKPD termasuk sekatan pergerakan dan tiada aktiviti ekonomi serta sosial sementara makanan akan disalurkan ke rumah masing-masing.

Daripada 938 saringan yang dilaksanakan sehingga 16 November lepas, sebanyak 76 kes positif Covid-19 telah direkodkan di Taman Meru 2C.

Penularan kes positif itu dikesan awal minggu lalu apabila ada kalangan jemaah yang mengikuti kuliah agama di surau taman berkenaan disahkan positif Covid-19.

Surau taman berkenaan ditutup sementara sejak 10 November lalu.

 

 

Dalam pada itu seorang penduduk, Ibrahim Jaafar, 50, mengakui bimbang dengan perkembangan kes berkenaan dan meminta semua penduduk mematuhi segala SOP yang ditetapkan.

“Taman ini sudah 30 tahun didiami dan memang majoriti yang tinggal di sini adalah pesara dan warga emas, jadi risiko penularan itu agak tinggi,” katanya.

Mohd Tarmizi Mohd Saaidin, 46, pula antara individu yang tamat menjalani tempoh kuarantin kendiri di rumah dan telah disahkan negatif.

Dia yang bekerja di sebuah bank di Menglembu itu sepatutnya sudah boleh masuk kerja, semalam namun terpaksa menangguhkannya berikutan pelaksanaan PKPD.

 

 

“Majikan juga telah memberikan pelepasan dan kebenaran untuk saya berada di rumah sehingga keadaan benar-benar pulih,” katanya.

Peniaga makanan, Lailatul Nor Asyikin Samsuddin, 43, juga akur sekiranya arahan penutupan operasi perniagaan dikeluarkan pihak berkuasa.

Katanya, sejak beberapa hari lalu beberapa premis berhampiran sudah mengambil langkah awal dengan menutup operasi perniagaan masing-masing kerana bimbang dengan penularan kes berkenaan.

“Jika diminta tutup, kita akan tutup bagi menjag kesihatan dan mengawal penularan wabak di taman ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian