PKPD: Empat SJR di Taman Meru 2C

PKPD: Empat SJR di Taman Meru 2C

Empat sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di Zon B dan Zon C, Taman Meru 2C di Ipoh bagi mengawal 2,168 penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komsioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata kedua-dua lokaliti itu melibatkan 572 buah rumah yang melibatkan SJR di Persiaran Taman Meru 28, Persiaran Taman Meru 30 dan Persiaran Taman Meru 1 dan Persiaran Meru 14.

Ujarnya lagi semua penduduk memberikan kerjasama yang baik dan situasi berjalan lancar dengan penugasan 162 anggota secara bergilir-gilir di situ membabitkan polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA.

Empat SJR pantau PKPD di Taman Meru 2C

“Kita juga mengerakkan anggota unit kereta peronda (MPV) dan rondaan jalan kaki di kawasan sekitar agar tiada yang cuba melarikan diri.

“Penugasan secara bergilir-gilir dilakukan bermula jam 12 malam hingga 8 pagi dengan kerjasama daripada seramai 162 anggota polis, tentera dan RELA untuk penugasan keselamatan lokaliti terbabit.

“Kesemua jalan tikus sudah ditutup dengan kawat duri dengan ada anggota pemantau dan kita mengharapkan komuniti di sini menjadi mata dan telinga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan PKPD di kawasan berkenaan pada Jumaat.

A. Asmadi turut mengingatkan semua penduduk yang terbabit untuk patuh dan tidak membuat sebarang pergerakan keluar dari rumah sehingga tempoh PKPD berakhir.

Katanya lagi, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memantau dan menguruskan keperluan penduduk termasuk makanan kering dan basah.

Ia juga tertakluk kepada permintaan dan maklum balas daripada penduduk berhubung bekalan yang diperlukan sepanjang PKPD dilaksanakan.

Sehingga 16 November, sebanyak 938 saringan dilaksanakan di Zon B dan Zon C Taman Meru 2C serta 76 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

Sumber: Suara Perak