PKPD di tapak binaan Central Medicare bermula esok

PKPD di tapak binaan Central Medicare bermula esok

Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama, kilang dan tapak binaan Central Medicare, Hilir Perak, Perak bermula esok sehingga 7 Mac depan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut diambil selepas penilaian risiko dibuat bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

“KKM hari ini melaporkan situasi kes Covid-19 di asrama, kilang dan tapak binaan Central Medicare dan sehingga 19 Februari lalu sebanyak 1,966 ujian saringan telah dilakukan malah daripada jumlah itu sebanyak 185 individu telah didapati positif.

“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 2,808 orang pekerja,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, saringan bersasar itu melibatkan pekerja warganegara serta bukan warganegara yang tinggal di lokaliti berkenaan untuk mengawal jangkitan dalam komuniti. – KO