PKPD di Tapah bermula 16 Februari

PKPD di Tapah bermula 16 Februari

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan di Perak dilaksana bermula esok sehingga 1 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD dilaksana selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan situasi peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan terbabit.

Katanya, sehingga kini KKM sudah melaksanakan 187 ujian saringan ke atas kontak rapat dan daripada jumlah itu, sebanyak 55 kes positif COVID-19 direkodkan.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan di Tapah, Perak bermula 16 Februari hingga 1 Mac ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM menjalankan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terbabit untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan harian laporan COVID-19 hari ini.

Ismail berkata, prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara itu adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini, termasuk tidak membenarkan pergerakan keluar dan masuk serta lawatan oleh ahli keluarga. – BH