PKPD di PPA dan kuarters kakitangan Batu Gajah, Perak dilanjutkan sehingga 13 Mac

PKPD di PPA dan kuarters kakitangan Batu Gajah, Perak dilanjutkan sehingga 13 Mac

Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) dan kuarters kakitangan Batu Gajah di Kinta, Perak bermula 28 Februari sehingga 13 Mac depan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di lokaliti tersebut dan dijadualkan tamat pada 27 Februari ini.

“Sehingga kini Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 761 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 433 kes positif COVID19 telah direkodkan.

“KKM mengesahkan peningkatan kes masih berlaku melibatkan tahanan di PPA ini apabila sebanyak 13 kes baharu direkodkan pada 25 Februari 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Justeru, katanya setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) dan kuarters kakitangan Batu Gajah, Kinta, Perak bermula 28 Februari sehingga 13 Mac nanti. – AA