PKPD di Penjara Tapah, kuarters kakitangan dilanjut sehingga 29 Mac

PKPD di Penjara Tapah, kuarters kakitangan dilanjut sehingga 29 Mac

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah dan kuarters kakitangannya di Batang Padang, Perak yang sepatutnya tamat Isnin ini, dilanjutkan sehingga 29 Mac.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan keputusan itu dibuat setelah Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan masih berlaku penularan kes melibatkan tahanan di penjara berkenaan.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 2,660 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 556 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“KKM turut mengesahkan terdapat 562 lagi baki sampel saringan sedang menunggu keputusan serta masih berlaku penularan kes melibatkan tahanan di penjara itu.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Tapah dan kuarters kakitangan di Batang Padang, Perak bermula 16 Mac sehingga 29 Mac 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ismail Sabri juga memaklumkan kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Asrama Imperial Garments Flat Anjung Tawas Damai, Kinta, Perak pada 14 Mac seperti yang dijadualkan.

Beliau menjelaskan keputusan menamatkan PKPD di lokaliti itu dibuat setelah KKM mengesahkan tiada kes baharu COVID-19 direkodkan dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif serta kontak rapat telah diasingkan.

Dalam kenyataan itu juga, beliau memaklumkan seramai 223 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 216 telah dikenakan kompaun dan tujuh direman.

Katanya, Operasi Benteng yang diadakan pada Jumaat juga telah menangkap 51 orang pendatang tanpa izin (PATI) dan empat tekong serta merampas lapan buah kenderaan darat di seluruh negara.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 99 buah bot atau kapal di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan. – AA