PKPB: Penutupan pantai peranginan di Manjung

PKPB: Penutupan pantai peranginan di Manjung

Pantai peranginan di daerah ini ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula semalam hingga 9 Disember ini.

Penutupan itu membabitkan pantai Teluk Batik dan kawasan pesisir laut (waterfront) di Lumut, pantai Pasir Bogak dan Teluk Nipah di Pulau Pangkor dan pantai Teluk Senangin di Segari.

Kawasan itu ditutup selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, aktiviti riadah di Kompleks Sukan MPM juga dilaksanakan dengan hanya 10 individu dibenarkan berada dalam kompleks berkenaan pada satu-satu masa.

“Kita terpaksa mengehadkan aktiviti di semua kawasan tumpuan pelancongan. Perkelahan dan aktiviti pelancongan tidak dibenarkan dalam kawasan PKPB.

“Bagi aktiviti riadah dalam kawasan kompleks sukan pula mereka hanya dibenarkan berada selama 30 minit saja sekali gus bagi memberi peluang kepada orang lain untuk beriadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Manjung, Zulhisham Ahmad Shukori berkata, jadual operasi feri yang baharu bermula 6.45 pagi hingga 6.30 petang untuk perjalanan Pangkor-Marina Island, manakala Marina Island-Pangkor pula bermula 7.15 pagi hingga 7 malam.

Katanya, perjalanan dari Jeti Lumut membabitkan Pangkor-Lumut bermula 6.30 pagi hingga 5.30 petang, manakala Lumut-Pangkor pula 7.15 pagi hingga 6.30 petang.

“Jadual itu bermula semalam dan perjalanan dihadkan enam trip sahaja berbanding 12 trip sebelum ini,” katanya.

Sumber: Harian Metro