PKPB: Peniaga kecil mohon bantuan “one off” pada semua peniaga

PKPB: Peniaga kecil mohon bantuan “one off” pada semua peniaga

Peniaga jalanan menyambut baik bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Fasa 4 namun berharap agar ia disalurkan secara menyeluruh kepada semua peniaga.

Seorang peniaga makanan, Mohd Fezizi, 34, berkata, dia menghargai usaha kerajaan untuk membantu para peniaga terutama dalam situasi yang sangat mencabar ini.

“Peniaga jalanan dan pasar malam tidak menerima bantuan ini kerana ia hanya diberikan kepada peniaga yang menyewa premis milik pihak berkuasa tempatan.

“Saya mencadangkan agar bantuan one-off ini diberikan juga kepada peniaga jalanan seperti kami yang turut terjejas ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya ketika ditemui Suara Perak.

Beliau ditemui semasa tinjauan Suara Perak berhubung bantuan one-off RM500 kepada 9,316 peniaga dan penjaja kecil di Negeri Perak.

Mohd Fezizi

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan PRE 4.0 bernilai RM9 juta melibatkan bantuan kewangan dan pengecualian sewaan gerai makan milik PBT di negeri ini bagi tempoh sebulan.

Mengulas perkara yang sama, seorang peniaga kecil, Nur Haryani Hawari, 25, berkata, bantuan yang diberikan itu dapat dijadikan modal pusingan perniagaannya.

“Buat masa ini, kehadiran pelanggan ke gerai kami agak berkurangan berbanding sebelum ini kerana orang ramai takut keluar rumah ekoran peningkatan mendadak kes COVID-19.

“Namun, dengan adanya insentif seperti ini, ianya dapat membantu saya untuk meneruskan perniagaan ini,” ujarnya.

Nur Haryani Hawari

Peniaga minuman, Mohd Isa Shamsudin, 34, berpandangan bantuan seperti itu harus diteruskan oleh kerajaan negeri demi kelangsungan ekonomi setempat.

“Bantuan seperti ini sangat membantu kami, para peniaga kecil yang terjejas pendapatan berikutan penguakuasaan PKPB.

“Insentif ini harus diteruskan oleh kerajaan agar kami dapat terus berniaga dan seterusnya membantu meningkatkan ekonomi negeri ini,” katanya.

Mohd Isa Shamsudin

Sumber: Suara Perak