PKPB: Kawasan zon merah dibenarkan solat Jumaat diganti dengan solat Zuhur di Perak

PKPB: Kawasan zon merah dibenarkan solat Jumaat diganti dengan solat Zuhur di Perak

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan agar solat Jumaat diganti dengan solat Zuhur mulai hari ini, di rumah masing-masing bagi kawasan zon merah susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, titah dibuat selepas menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak serta Jabatan Agama Islam Perak dan mengambil kira pandangan dan maklum balas terkini daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagi zon merah solat berjemaah pada setiap solat fardu hanya boleh dilaksanakan oleh enam orang jemaah yang terdiri daripada pegawai masjid dan ahli Jawatankuasa Kariah.

“Laungan azan solat fardu lima waktu hendaklah diteruskan seperti biasa,” katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, bagi zon kuning dan zon hijau, solat Jumaat dan solat fardu lima waktu dibenarkan dengan bilangan jemaah yang dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat di masjid dan surau serta surau diri Jumaat.

“Ia berasaskan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan jarak satu meter di antara jemaah.

“Kehadiran menunaikan solat Jumaat, pada masa ini hanya dibenarkan kepada warga Malaysia, identiti jemaah yang datang untuk bersolat hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat.

Shahrul Azam berkata, bagi zon merah semua aktiviti keagamaan seperti ceramah, kuliah pengajian antara Maghrib dan Isyak serta selepas solat Subuh, kuliah Dhuha, bacaan Yassin, tahlil doa selamat dan sebagainya ditangguhkan.

“Bagi zon kuning dan hijau, semua aktiviti keagamaan berkenaan dibenarkan.

“Pelaksanaan solat fardu lima waktu yang dilaksanakan secara berjemaah dan aktiviti keagamaan di seluruh masjid, surau diri Jumaat dan surau dalam negeri ini juga dibuka kepada muslimah di ruang khas yang disediakan,” katanya.

Menurutnya, penggunaan masjid, surau diri Jumaat dan surau untuk ibadah solat dan aktiviti keagamaan hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang ditetapkan oleh MKN dan KKM.

“Jawatankuasa Kariah atau pegawai masjid hendaklah memberikan peringatan dan penerangan ringkas kepada jemaah untuk mematuhi garis panduan sebelum solat Jumaat, solat berjemaah pada setiap solat fardu dan aktiviti keagamaan dimulakan,” katanya.

Sumber: Harian Metro