PKPB berkuatkuasa di submukim Ipoh bermula esok

PKPB berkuatkuasa di submukim Ipoh bermula esok

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dikuatkuasakan di submukim Ipoh, Perak, selama 14 hari bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan berlaku peningkatan kes positif COVID-19 di lokasi terbabit.

Setakat ini, beliau berkata, KKM mengesahkan sebanyak 106 kes positif dilaporkan secara bertaburan di submukim Ipoh.

“Daripada jumlah itu, 89 kes adalah jangkitan tempatan yang dilaporkan dalam tempoh 14 hari.

“KKM turut mengesahkan ada kluster masih aktif membabitkan kawasan kilang bertumpu di beberapa kawasan perindustrian di submukim ini, yang berisiko membawa kepada penularan COVID-19.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPB di submukim Ipoh bermula 7 (esok) hingga 20 Januari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPB itu bertujuan membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar, selain untuk mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di kawasan terbabit.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/773067/covid-19-submukim-ipoh-dikenakan-pkpb-14-hari-bermula-esok