PKP2.0 : Pembuat kuih hanya dapat RM6 sehari

PKP2.0 : Pembuat kuih hanya dapat RM6 sehari

“Sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), nak ambil upah membersihkan rumah orang pun susah, tak ada orang yang nak upah cuci rumah mereka semasa PKP sekarang.”

Demikian kata seorang wanita pembuat kuih, Suhailey Saad, 43, yang mengakui amat terkesan untuk mencari rezeki semasa PKP.

Menurutnya, selama ini dia menampung hidupnya dengan membuat kuih muih yang dihantar di gerai-gerai sekitar Selinsing dekat sini.

Katanya, namun sejak pelaksanaan PKP 2.0 bermula 22 Januari lalu, jualannya merosot teruk sehingga kadang kala hanya mendapat RM6 sehari.

“Punca pendapatan utama saya hanyalah dengan menjual kuih muih yang saya hantar ke kedai-kedai makanan di kawasan ini.

“Sejak PKP dilaksanakan semula, saya amat terkesan apabila hanya memperoleh anggaran kasar sebanyak RM6 sehari, sehinggakan untuk membuat pusingan modal untuk hari seterusnya juga tidak mampu.

“Sebelum PKP saya boleh menjana pendapatan dengan anggaran kasar sebanyak RM60 sehari,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Menurutnya, selain membuat kuih, dia turut mengambil upah untuk kerja mencuci rumah penduduk yang memerlukan khidmatnya dengan beroleh pendapatan RM10 sejam.

Katanya, namun kini tiada lagi yang memerlukan khidmatnya ketika PKP.

“Sekarang tiada siapa yang memerlukan khidmat saya untuk membersihkan rumah mereka, kemungkinan kerana peningkatan kes Covid-19 sekarang,” katanya.

Suhailey, ibu kepada empat orang anak yang masih bersekolah ketika ditemui pemberita selepas menerima sumbangan sebuah kerusi roda untuk kegunaan ibunya, Ramlah Wahid, 80, yang uzur di rumahnya di Kampung Parit Sungai Baru Selinsing di sini semalam.

Sumbangan diberikan oleh Yayasan Amal Malaysia Cawangan Perak selain sumbangan barangan keperluan harian.

Mengenai ibunya, Suhailey berkata, dia dan adik beradiknya yang lain bergilir-gilir menjaga serta merawat ibu mereka yang uzur akibat menghidap pelbagai penyakit seperti kencing manis, batu karang dan sakit tulang belakang.

“Emak memerlukan perhatian kami empat beradik kerana dia tidak lagi boleh bergerak sendiri untuk menguruskan dirinya setelah terjatuh di rumah tahun lalu,” katanya. – UO