PKP: Lima SJR di sekitar bandaraya Ipoh

PKP: Lima SJR di sekitar bandaraya Ipoh

Polis menyasarkan lapan lokasi tumpuan membabitkan pasar dan pasar raya tumpuan ramai di daerah ini dalam penugasan Op Payung sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, penguatkuasaan akan diperketatkan berbanding operasi sama yang pernah dijalankan, sebelum ini.

Menurutnya, pihaknya menggunakan pendekatan rondaan, nasihat awam, pencegahan jenayah dan kompaun.

“Kita akan lebih tegas, bahkan agresif untuk memastikan penularan wabak Covid-19 disebabkan kelalaian masyarakat dapat terhapus.

“Ia bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa polis berada di persekitaran mereka untuk ambil tindakan seperti saman, kompaun dan beri nasihat sepanjang PKP kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sekatan jalan raya (SJR) sempena PKP di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Menurutnya, lima SJR diadakan sekitar bandar ini iaitu di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Plaza Tol Ipoh Utara arah selatan, Plaza Tol Ipoh Selatan arah utara; Jalan Ipoh-Kuala Kangsar; dan Jalan Bercham bagi mengawal pergerakan orang ramai.

Katanya, pemantauan mendapati jumlah kenderaan banyak di jalan raya dan pihaknya beranggapan kebanyakannya keluar bekerja. – HM