PKP 3.0: Ahli Parlimen, Adun dibenarkan rentas negeri, daerah

PKP 3.0: Ahli Parlimen, Adun dibenarkan rentas negeri, daerah

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula hari ini hingga 7 Jun di seluruh negara menyaksikan rakyat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) am yang ditetapkan kerajaan membabitkan aktiviti dibenarkan dan aktiviti tidak dibenarkan.

Berdasarkan SOP am PKP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), antara aktiviti tidak dibenarkan adalah merentas negeri dan daerah dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab melaksanakan kawalan ke atas kawasan tempatan jangkitan.

Kawalan ini dibantu agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan laluan keluar masuk PKP ditutup serta dikawal kemasukan oleh PDRM.

Bagaimanapun pergerakan dibenarkan bagi kes kematian, bencana alam dan lain-lain kecemasan yang dibenarkan selepas mendapatkan kebenaran daripada PDRM.

Rentas negeri dibenarkan bagi pasangan suami isteri jarak jauh dengan mendapat kebenaran polis.

Kebenaran diberikan kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk merentas daerah dan negeri dengan tujuan urusan kerja rasmi atau melawat kawasan.

Pergerakan bagi bantuan bencana atau kemanusiaan oleh badan bukan kerajaan (NGO) pula, perlu mendapat kebenaran dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri atau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dikawasan yang terjejas dengan bantuan disalurkan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Selain itu, pergerakan bagi Pelawat Perniagaan Jangka Pendek di bawah kelulusan ‘Inisiatif One Stop Centre’ untuk tujuan rasmi atau perniagaan juga dibenarkan selepas mendapat kebenaran PDRM.

Pergerakan rentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi Covid-19 turut dibenarkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS.

Aktiviti agama Islam seperti solat berjemaah, solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kapasiti jemaah yang ditetapkan Pihak Berkuasa Agama Negeri.

Sementara itu, antara senarai aktiviti tidak dibenarkan atau ‘negative list’ adalah aktiviti sosial termasuk kenduri-kendara, majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri, majlis meraikan pernikahan atau pertunangan, majlis perkahwinan, resepsi dan sebagainya.

Banyak lagi aktiviti yang dibenarkan dan tidak dibenarkan disenaraikan dalam SOP am PKP dan orang ramai boleh menyemaknya di laman sesawang MKN. – MP