Pindah setinggan tepi Sungai Perak

Pindah setinggan tepi Sungai Perak

 

Penempatan setinggan di tepi Sungai Perak di sini, wajar dipindahkan seterusnya pembinaan rumah atau premis baharu sepatutnya tidak lagi dibenarkan di kawasan itu.

Terdapat empat buah kampung setinggan di tepi sungai yang dikenal pasti di sini yang wujud sejak berpuluh tahun lalu iaitu Kampung Esso (100 penduduk, 50 rumah), Kampung Durian Sebatang (245 penduduk, 30 rumah), Kampung Terengganu (90 penduduk, 45 rumah) dan Kampung Beca (300 penduduk, 25 rumah).

Kewujudan rumah tepi sungai itu menimbulkan pelbagai isu seperti pembuangan sampah, keselamatan penduduk terutama ketika berlaku banjir dan kesukaran kerajaan menyediakan kemudahan asas kepada mereka.

Untuk itu, Pejabat Daerah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hilir Perak menyarankan tiada lagi rumah atau premis dibenarkan dibina di tepi sungai.

Pegawai Daerah Hilir Perak, Saidi Shaari berkata, penempatan setinggan menimbulkan kebimbangan terhadap isu keselamatan kerana kawasan itu terletak di tebing Sungai Perak.

“Selain itu, penempatan yang dibina ini ialah rizab sungai, bermakna tidak boleh dibuat sebarang pembinaan.

“Pembinaan rumah setinggan ini menyukarkan JPS menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sungai seperti tebing atau menambah atau membaik pulih ban.

“Saya tidak setuju rumah dibina di tepi sungai sebab kita ada pengalaman apabila hujan lebat, rumah tepi sungai dinaiki air, seperti fenomena air pasang besar baru-baru ini,” kata ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sementara itu, Jurutera JPS Daerah Hilir Perak, Mahidi Mahamood berkata, rumah yang dibina di tepi sungai berdepan ancaman keselamatan terutama jika berlaku banjir dan hakisan tebing sungai.

Menurutnya, kerajaan menetapkan rizab sungai pada jarak 50 meter dan ia seharusnya menjadi panduan bagi semua pihak berkaitan dalam melaksanakan pembangunan, khususnya pembinaan rumah dan premis di tepi sungai.

“Dianggarkan terdapat 200 buah rumah setinggan di sini yang menyebabkan pencemaran alam sekitar seperti membuang sampah sarap di Sungai Perak, yang boleh menjejaskan sumber air.

“Kebanyakan mereka menduduki rizab sungai ini hampir 30 tahun antaranya Kampung Durian Sebatang, Kampung Terengganu, Kampong Esso dan Kampung Beca,” katanya.

Penduduk setinggan harap penempatan baharu

Sementara itu , penduduk kampung setinggan tepi Sungai Perak di sini, sedia dipindahkan jika kerajaan menyediakan penempatan baharu untuk mereka.

Penduduk yang ditemui berkata, mereka gembira jika mendapat penempatan baharu setelah berpuluh tahun tinggal di kawasan setinggan di tepi sungai.

Seorang penduduk, Muhammad Zakaria Omar, 41, berkata, mereka menyambut baik jika kerajaan ada rancangan mahu membantu mereka mendapatkan penempatan baharu yang lebih selesa.

Katanya, mereka menyedari rumah mereka kini dibina di kawasan yang tidak sepatutnya iaitu di rizab sungai.

“Kalau betul kerajaan mahu bantu, kami amat bersyukur, tidaklah lagi kami tinggal di tanah haram, rumah setinggan pun haram.

“Kami sudah lama tinggal di rumah setinggan yang kami warisi daripada bapa lagi namun keadaan rumah begitu daif, sudah banyak kali tukar atap dan lain-lain bahagian rumah,” katanya.

Menurutnya, tinggal di tepi sungai sangat mencabar dan membimbangkan terutama apabila musim hujan, banjir pasti berlaku.

Katanya, setiap kali musim tengkujuh, apabila hujan, air Sungai Perak naik hingga halaman rumah dan peralatan rumah seperti tikar getah bertukar ganti setiap kali banjir.

“Fenomena air pasang besar baru-baru ini,  kawasan kampung ini dinaiki air sehingga paras pinggang. Kami sudah penat dan jemu tinggal di tepi sungai, eloklah kalau benar kerajaan nak memindahkan kami tempat yang baharu.

“Jika ada rumah baharu, kami dan keluarga berpeluang memulakan kehidupan yang lebih selesa,” katanya.

Penduduk, Hamidah Ismail, 38, berkata, dia sudah 25 tahun tinggal di Kampung Durian Sebatang di rumah milik keluarganya.

Menurutnya, dia memang menantikan usaha kerajaan untuk membantu mereka mendapatkan kawasan penempatan baharu yang lebih selesa.

“Rumah ini rumah pusaka ibu bapa yang telah lama meninggal dunia. Memang saya ada berfikir untuk berpindah jika kerajaan mahu membantu kami,” katanya.