“Pindah-randah 11 kali, nak beli nasi lemak RM1 pun tak mampu” – Diana Danielle

Terpaksa berpindah-randah sebanyak 11 kali, tiada rumah, wang, makanan dan terpaksa menumpang rumah orang.
Inilah yang dialami aktres popular, Diana Danielle, 33, yang pernah hidup dalam kesusahan ketika zaman kanak-kanak.
Diana berkata, dia hidup bersama ibunya yang juga ibu tunggal.
“Saya datang dari latar belakang yang sangat bawah. Kami pernah tiada rumah dan terpaksa menumpang di rumah keluarga dan kawan-kawan. Ibu pula tidak bekerja selama dua tahun.
“Pernah berlaku kami terpaksa berpindah sebanyak 11 kali dalam tempoh singkat. Saya cuma bawa beg sandang dan berusia sekitar 10 hingga 12 tahun. Ibu saya jatuh sakit dan kehilangan perniagaan.
“Kami memang tak ada duit langsung. Nak beli nasi lemak sebungkus RM1 pun tak mampu. Itulah sebabnya saya mula berlakon dengan lebih serius,” katanya menerusi podcast di YouTube Debonair Podcast kendalian Deborah Henry.
Pengalaman hidup itulah yang menjadikan pelakon filem Imaginur itu lebih mensyukuri hidup seadanya tanpa mengejar kebendaan semata-mata.
“Saya sedar kebendaan cuma kebendaan, duit cuma duit. Semua nak jadi jutawan. Saya menentang itu kerana menjadi gangguan.
“Disebabkan itulah, saya rasa orang jadi tertekan kerana tidak dapat mencapai jangkauan masyarakat terhadap kita,” katanya.