Pesta liar di balai: Seorang anggota polis positif dadah

Pesta liar di balai: Seorang anggota polis positif dadah

Polis mengesahkan salah seorang daripada empat anggota polis yang ditahan ketika parti liar di sebuah balai polis di Kajang, kelmarin didapati positif dadah.

Pengarah Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Azri Ahmad berkata, kesemua empat anggota termasuk empat wanita (orang awam) sudah menjalani ujian saringan awal.

“Bagaimanapun hasil ujian saringan awal yang dijalankan itu mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis THC.

“Manakala tujuh yang lain didapati negatif,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, lapan individu termasuk ketua balai polis bersama tiga anggotanya berhibur bersama empat wanita yang juga orang awam di sebuah balai polis dalam daerah Kajang ditahan JIPS Bukit Aman, kelmarin.

Dalam serbuan pukul 6 petang itu, ketua balai polis yang berpangkat sub inspektor bersama dua anggotanya berpangkat koperal dan seorang koperal sokongan ditahan ketika berhibur sambil dipercayai mengambil minuman keras dan air ketum dalam bilik di tingkat dua balai berkenaan.

Sumber: Kosmo