Peserta RXZ Members 6.0 rugi RM350 jadi mangsa penipuan inap desa tidak wujud

Peserta RXZ Members 6.0 rugi RM350 jadi mangsa penipuan inap desa tidak wujud

 

Pembantu kedai makan kerugian RM350 selepas menjadi mangsa penipuan inap desa tidak wujud dalam kejadian di daerah ini, semalam.

Kejadian bermula apabila lelaki berusia 25 tahun dari Maran, Pahang yang berada di daerah ini bagi menghadiri perhimpunan RXZ Members 6.0 melihat iklan di Facebook kelmarin yang menawarkan sewaan sebuah inap desa.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang terperdaya dengan tawaran itu membuat bayaran sebanyak RM350 ke dalam sebuah akaun seperti diarahkan suspek pada jam 8.43 malam.

“Mangsa kemudian pergi ke alamat lokasi yang diberikan namun pemilik rumah berkenaan menafikan ada menawarkan inap desa.

“Mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu dan siasatan lanjut mengenai kes berkenaan sedang dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Sebelum ini, tular di grup Kuala Nerus, seorang pemilik akaun FB memuat naik hantaran mencari rumah inap desa yang masih mempunyai kekosongan susulan terdapat peserta RXZ Members 6.0 ditipu.

Dalam kejadian itu, konvoi penunggang motosikal RXZ dari Negeri Sembilan ke Terengganu yang disertai seramai 26 orang menjadi mangsa penipuan yang menawarkan penginapan di sebuah inap desa.

Konvoi berkenaan membuat pembayaran sebanyak RM1,800 untuk menginap selama dua malam di rumah dua tingkat.